UiTM Cawangan Sarawak juara Debat Premier Sarawak

SAMARAHAN: Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 menjadi platform membentuk generasi muda berani berfikir, bersuara dan mencabar idea.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu penting dalam melahirkan generasi yang mampu memimpin dan menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

“Pertandingan kita bukan sekadar meraikan sebulan pertandingan debat.

“Kita sedang meraikan generasi muda yang berani berfikir, berani bersuara dan berani mencabar idea,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Malam Akhir dan Penyampaian Hadiah Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026, di sini, malam tadi.

Menurutnya, pertandingan itu disertai 74 mahasiswa daripada 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri inj yang disatukan melalui keberanian mengemukakan pandangan serta mendengar perspektif berbeza.

Katanya, Sarawak memerlukan bakat dalam bidang ekonomi masa hadapan termasuk tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, aeroangkasa, teknologi satelit dan pertanian moden.

Beliau berkata, pendidikan turut menjadi pelaburan utama kerajaan negeri menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) bagi memberi akses kepada pendidikan berkualiti dan kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi baharu.

Penguasaan Bahasa Inggeris katanya, penting kerana ia membuka akses kepada perkembangan dalam sains, kejuruteraan, teknologi, perubatan, AI, perniagaan antarabangsa dan penyelidikan.

Sementara itu, Pengerusi Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Datuk Ismawi Ismuni berkata pertandingan berkenaan turut membina keyakinan, pemikiran kritikal, kemahiran penyelidikan dan komunikasi dalam kalangan peserta.

Beliau berkata, edisi 2026 melibatkan 32 panel adjudikasi daripada pelbagai latar belakang, selain menerima sokongan Bintulu Port, SACOFA dan Press Metal serta rakan media dan institusi pendidikan.

“Debat mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar pertandingan kerana seorang pendebat belajar untuk mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menilai dan berfikir sebelum bersuara.

“Nilai-nilai ini amat penting dalam membentuk pemimpin,” katanya.

Sementara itu, UiTM Cawangan Sarawak muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, diikuti Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di tempat kedua menerima RM7,000, manakala Roy Makaay Jeffery dari UNIMAS dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dan Ethan Hope Eric dari UiTM sebagai Pendebat Terbaik Pusingan Akhir, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.