KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa graduan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) agar menjadi ejen perubahan yang membawa pendekatan wasatiyyah dalam aspek kehidupan.
Berucap pada Istiadat Konvokesyen IKMAS Ke-22 tahun 2026 di sini, Yang di-Pertua Negeri berkata, dalam dunia media sosial hari ini graduan IKMAS mesti menjadi suara yang menenangkan, berhikmah dan berasaskan fakta ilmiah.
“Jadikan kesederhanaan sebagai pakaian peribadi dan mendekati masyarakat dengan kasih sayang dan bukan dengan hukuman, dan bimbinglah masyarakat dengan kelembutan, bukan dengan kekerasan,” katanya.
Beliau berkata, dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), graduan IKMAS tidak boleh ketinggalan atau menjadi penonton yang pasit.
Para graduan, tegas beliau, mesti menguasai kemahiran digital itu untuk dijadikan sebagai medium dakwah yang efektif, kreatif dan dinamik.
“Gunakan platform digital untuk menyebarkan risalah Islam yang suci. Hasilkan kandungan yang bermutu, kreatif, dan mampu menjawab persoalan kontemporari anak muda.
“Jika para graduan tidak memenuhkan ruang digital ini dengan kebaikan, maka ruang tersebut akan dipenuhi oleh unsur-unsur negatif yang merosakkan pemikiran ummah,” katanya.
Menurut Yang di-Pertua Negeri, amanat li-ta’arafu (untuk saling mengenali) adalah teras kepada pembentukan masyarakat madani di Sarawak.
Graduan IKMAS yang memikul tanggungjawab sebagai Duta Rahmah mesti mempamerkan keindahan Islam melalui akhlak yang mulia, sikap bertoleransi, dan keupayaan hidup bersama secara harmoni dengan masyarakat bukan Islam, katanya dan menambah, jangan sesekali membawa naratif yang ekstrem, rigid, atau memecah-belahkan.
Beliau menegaskan, peranan graduan amat kritikal disebabkan pembangunan material tanpa pembangunan rohani akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang.
Justeru, katanya, graduan IKMAS bertanggungjawab membina ‘infrastruktur insani’ yang berpaksikan nilai-nilai murni dan etika bertaraf kelas pertama.
Dedikasi, iltizam, dan usaha tanpa jemu yang dicurahkan akan berjaya memateri nama IKMAS sebagai sebuah institusi menara gading Islam yang unggul, terutamanya dalam melahirkan modal insan yang seimbang dari segi keilmuan ukhrawi dan duniawi di wilayah Borneo, katanya.
Seramai 129 graduan menerima penganugerahan masing-masing, terdiri daripada 102 graduan Diploma Dakwah Islamiah, 12 graduan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat serta 15 graduan Sijil Pengajian Islam.
Istiadat turut dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Sahibussamahah Datu Khalidi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee serta Pengarah IKMAS Tuan Norazamir Alias.
