SARIKEI: Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh hari ini menyerahkan 137 Surat Hak Milik Tanah kepada 103 penerima merangkumi komuniti Melayu dan Iban di sini.
Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak itu adalah bagi Kawasan Ulu Sarikei (Sare – Sentebu).
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang semasa berucap pada majlis itu berkata, penyerahan surat hak milik itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan hak serta kepentingan pemilik tanah terpelihara.
Selain memberikan kepastian dari segi undang-undang pemilikan, katanya, langkah itu turut menjadi asas penting bagi memacu usaha meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Beliau sehubungan itu menasihati penerima supaya menjaga dan memanfaatkan tanah yang diberikan hak milik ini dengan sebaik-baiknya.
Tanah tersebut perlu diusahakan secara produktif demi meningkatkan taraf kehidupan serta kesejahteraan keluarga.
Selain itu, aset ekonomi, ia juga merupakan amanah dan warisan bernilai yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang, katanya.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Shafrie Saili, Penguasa Tanah & Survei Sarikei, Awan anak Amal, Wakil Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak (ICU), Kumpang Anak Brandah, Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan, Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli, dan Temenggong Awangku Ibrahim Awangku Hosain.
