LUNDU: Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano yang disempurnakan dengan rasminya hari ini diharap menjadi tumpuan aktiviti keagamaan dan masyarakat.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, masjid berkenaan turut diharap menjadi pemangkin kepada perancangan pembangunan di kawasan Telok Melano yang dicadangkan Kerajaan Sarawak.
“Saya berdoa rumah Allah ini menjadi pemangkin kepada pembangunan di kawasan ini, selaras dengan cadangan pembangunan yang dirancang,” titah Baginda yang berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Telok Melano di sini, hari ini.
Menyingkap sejarah masjid tersebut, pada 13 September 2023, Baginda Sultan Pahang, ketika itu sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, berangkat ke Telok Melano sebagai destinasi terakhir Kembara Kenali Borneo.
Kembara tersebut melibatkan perjalanan sejauh lebih 2,100 kilometer (km) merentasi Sabah dan Sarawak.
Di Telok Melano, Baginda Tuanku berkenan menyempurnakan upacara pecah tanah pembinaan sebuah masjid baharu untuk masyarakat Kampung Telok Melano berhampiran Kilometer 0 Pan Borneo.
Untuk info, masjid baharu ini dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 0.486 hektar membabitkan kos pembinaan yang dianggarkan sekitar RM8.8 juta.
Reka bentuk masjid mengambil inspirasi daripada seni bina masjid tradisional Alam Melayu dan Nusantara, bersesuaian kedudukan Telok Melano yang mempunyai hubungan sejarah dan budaya dengan masyarakat di Kepulauan Melayu.
Masjid ini mempunyai kapasiti sekitar 500 jemaah dan berpotensi menjadi tempat persinggahan para musafir serta pengunjung ke Telok Melano.
