DALAT: Dalat berpotensi dalam sektor agro termasuk sagu, padi, nanas dan kelapa, yang boleh diperluaskan menjadi agropelancongan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, satu pelan induk sektor agro yang berasaskan data perlu diwujudkan bagi mengenal pasti tanaman, kawasan, profil petani dan bentuk bantuan yang benar-benar diperlukan.
“Petaninya pula perlu beralih daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial bagi memastikan kemajuan ekonomi negeri diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah,” katanya merasmikan Dalat Agrofest 2026, di sini hari ini.
Rundi berkata, perubahan itu penting terutama dalam usaha Kerajaan Sarawak mencapai sasaran pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan menjelang 2030.
Walaupun Sarawak telah diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia sejak 2022, katanya, manfaat pertumbuhan ekonomi itu perlu turut dirasai masyarakat luar bandar, termasuk golongan B40.
“Jangan hanya memikirkan sara diri lagi. Kita harus mengkomersialkan apa yang kita lakukan. Setiap titik peluh mesti diterjemahkan kepada pulangan dalam bentuk ringgit dan sen,” tambahnya.
Rundi berkata, transformasi sektor pertanian juga memerlukan perubahan minda, penggunaan teknologi, mekanisasi serta model pertanian berkelompok bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.
“Pendekatan seperti pertanian pintar, Internet Kebendaan (IoT) dan rumah hijau mampu menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor berkenaan serta menangani isu petani yang semakin berusia,” ujarnya.
Dalam aspek keterjaminan makanan, Rundi berkata, Sarawak ketika ini mempunyai kadar sara diri (SSL) beras kira-kira 21 peratus dan masih bergantung kepada import bagi memenuhi sebahagian besar keperluan.
Katanya, Kerajaan Sarawak m mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar tanah berpotensi untuk penanaman padi, dengan pembangunan 2,000 hektar tanah kerajaan dirancang sebagai sebahagian usaha meningkatkan pengeluaran.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
