JAS tingkatkan rondaan, pantau pembakaran terbuka

KUCHING: Kualiti udara di Sarawak terus merosot apabila sembilan kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, manakala satu kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 2 petang hari ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan IPD Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 227, dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.

Sementara itu, Sri Aman merekodkan IPU 187, diikuti Kuching (176), Samarahan (175), Sarikei (174), Sibu (157), Bintulu (154), Samalaju (154), Kapit (130) dan Mukah (130), semuanya pada tahap tidak sihat.

Menurut JAS, keadaan itu disebabkan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah, termasuk kepulan asap rentas sempadan dari Kalimantan Barat yang bergerak ke bahagian barat Sarawak.

JAS turut meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian bagi memantau kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

JAS turut menasihati orang ramai agar mengelakkan pembakaran terbuka, memantau bacaan IPU semasa serta mendapatkan nasihat kesihatan ketika keadaan jerebu berterusan.