KUCHING: Kerajaan akan memantau penggunaan bantuan peralatan yang disalurkan kepada penerima di kawasan P.193 Santubong, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri.
Langkah tersebut katanya, bagi memastikan peralatan yang diberi dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan pendapatan penerima.
“Penerima dikenal pasti berdasarkan data eKasih yang disaring dan mereka perlu mengemukakan laporan pendapatan.
“Pemantauan akan dilakukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menerusi lawatan berkala,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Sejahtera Madani Peningkatan Pendapatan – Bantuan Peralatan di Kampung Pasir Pandak di sini, hari ini.
Jelasnya, terdapat peserta yang belum dapat mencapai sasaran dalam tempoh singkat berikutan pelbagai kekangan, termasuk faktor masa dan tanggungjawab lain.
“Bantuan yang disalurkan memberi peluang kepada mereka menambah baik kaedah kerja.
“Selain itu, peserta juga boleh meningkatkan keupayaan serta menjana pendapatan yang lebih baik,” ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapan, Nancy berkata, seramai 14 penerima e-Kasih dari Parlimen Santubong menerima bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM70,000.
“Penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk mekanik, nelayan, penjahit, tukang gunting rambut, peniaga serta penghantar.
“Bantuan disalurkan dalam bentuk peralatan bersesuaian dengan bidang pekerjaan dan keperluan mereka,” katanya.
Tambah Nancy, inisiatif itu selaras dengan Teras Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Rakyat bagi memperkukuhkan ekonomi serta membantu keluarga keluar daripada kemiskinan.
Bagi Zon Kuching, sebanyak RM515,000 dibelanjakan untuk bantuan peralatan, manakala RM1.49 juta diperuntukkan di seluruh Sarawak kepada isi rumah berdaftar eKasih, ujarnya. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
