Teksi MADANI bawa pembaharuan industri teksi Sarawak

KUCHING: Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional kini dilaksanakan di Sarawak dengan tumpuan kepada kenderaan lebih moden, pilihan pembiayaan fleksibel dan peningkatan kesejahteraan pemandu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, seramai 446 pemandu teksi dan 170 pemandu kereta sewa di Sarawak kini aktif serta berdaftar dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak.

“Program ini bukan sekadar menggantikan kenderaan lama dengan kenderaan baharu, tetapi satu usaha menyeluruh untuk mentransformasikan ekosistem industri teksi.

“Langkah itu memberi perhatian kepada kesejahteraan pemandu, keselamatan dan keselesaan penumpang serta kelestarian industri pengangkutan awam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.

Katanya, Proton S70 dipilih sebagai model teksi di bawah program berkenaan berdasarkan aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan penggunaan bahan api.

Menurutnya, PROTON melalui Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) bersama institusi kewangan turut menyediakan pilihan pembiayaan termasuk sewa beli dengan ansuran harian lebih rendah serta pakej pajakan yang merangkumi kos penyelenggaraan.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara industri teksi dengan platform e-hailing kerana pemandu berpeluang menerima lebih banyak tempahan, mengurangkan masa kenderaan tidak beroperasi dan meningkatkan potensi pendapatan,” tambahnya.

Beliau berkata, program itu turut merangkumi keutamaan pemeriksaan berkala teksi di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) atau Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) berlesen bagi memudahkan urusan pemandu tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

Katanya, identiti baharu teksi Malaysia turut diperkenalkan menerusi reka bentuk moden tanpa papan tanda teksi di atas bumbung, nombor pendaftaran khas “GET” dan meter teksi digital.

Kejayaan program itu akan dinilai berdasarkan peningkatan pendapatan pemandu, kawalan kos operasi serta keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan teksi yang lebih selamat, selesa dan berkualiti.