Program Bantuan MyLesen (B2) Parlimen Betong sasar hingga 1,200 peserta

SPAOH: Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen (B2) julung kali diadakan di peringkat Parlimen Betong tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata, program memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan lesen memandu kelas B2 dengan kadar yang rendah. Ia terbuka penyertaannya kepada warganegara Malaysia termasuk belia atau pelajar berumur 16 tahun ke atas, orang dewasa dan penerima bantuan kerajaan kumpulan B40.

“Untuk program ini, kita menyasarkan penyertaan 1,000 sehingga 1,200 orang memandangkan kapasiti dewan yang akan digunakan, peralatan dan kapasiti daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertandingan futsal Aidilfitri di Dewan Komuniti Kampung Sebemban, di sini, semalam.

Dr Richard berkata, borang penyertaan boleh didapati di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen Betong dan tarikh tutup penyertaan pada 15 Mei ini.