KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap hasil penyelidikan Geran Penyelidikan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (SDCRG) menjadi maklumat awal dan asas pertimbangan dalam menambah baik dasar dan program pembangunan sosial di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, hasil kajian itu juga akan membangunkan intervensi yang lebih bersasar serta memastikan pembangunan sosial Sarawak terus memberi perhatian kepada kesejahteraan dan keterangkuman masyarakat.
“Penubuhan SDCRG adalah penting supaya penyelidikan terhadap isu sosial di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berterusan,” katanya pada sesi penyerahan geran pelaksanaan kajian di bawah SDCGR di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan geran berjumlah RM334,986 kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Swinburne dan UPM Bintulu bagi menjayakan kajian berkenaan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak mahu memberi ruang kepada penyelidik yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman terhadap konteks Sarawak.
Kolaborasi dengan penyelidik dan pakar dari luar akan dapat memberi nilai tambah kepada sesuatu kajian, katanya.
Fatimah percaya gabungan kepakaran akademik, data, pengalaman lapangan, pengetahuan tempatan akan menghasilkan penyelidikan yang lebih bermakna serta mencerminkan keperluan masyarakat.
Hasil penyelidikan itu juga, katanya, akan menyediakan bukti setempat yang kukuh untuk menyokong dasar, program dan intervensi sosial.
Kajian-kajian ini merangkumi bidang dan kumpulan sasaran berbeza, tetapi mempunyai satu matlamat yang sama.
Antaranya, membantu kerajaan memahami keadaan sebenar, mengenal pasti jurang dan menghasilkan bukti yang relevan dengan konteks Sarawak.
