Projek JKR di Serian diteruskan

KUCHING: Aktiviti pembinaan di tapak projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di Serian boleh diteruskan meskipun kawasan itu dilanda jerebu, tertakluk kepada pematuhan langkah pencegahan dan perlindungan kesihatan.

JKR Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu mengambil kira kenyataan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berhubung keadaan jerebu di kawasan berkenaan.

Menurutnya, semua kontraktor, perunding dan pekerja di tapak projek perlu sentiasa memantau tahap kualiti udara serta mematuhi arahan dan nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah memastikan pekerja mendapat rehat mencukupi, mengurangkan pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar serta menggunakan pelindung pernafasan yang bersesuaian apabila diperlukan.

Pekerja yang mengalami masalah kesihatan juga perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

Sementara itu, Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris berkata, aspek keselamatan dan kesihatan semua warga kerja sentiasa menjadi keutamaan jabatan.

JKR Sarawak turut mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek supaya mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja sepanjang tempoh jerebu.

Pada masa sama, jabatan itu akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan arahan serta nasihat terkini pihak berkuasa berkaitan.