Lima tahun berkhidmat, Satok kekal sebagai satu keluarga – Ibrahim Baki

KUCHING: Pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kebajikan masyarakat antara tumpuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N8 Satok, sepanjang lima tahun berkhidmat di kawasan tersebut.

Datuk Ibrahim Baki berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk membantu murid yang ketinggalan dalam kemahiran membaca dan menulis selepas pandemik Covid-19.

“Satok ini semua kawan, semua adik-beradik dan satu keluarga Satok.

“Satu untuk semua, semua untuk satu, kita bekerja bukan bermusim, tetapi sepanjang lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di Pusat Khidmat DUN N8 Satok, di sini, hari ini.

Ibrahim Baki yang juga Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) berkata, perubahan turut dapat dilihat menerusi penambahbaikan infrastruktur, bantuan pendidikan dari sekolah rendah hingga menengah serta kursus sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Antara inisiatif pendidikan ialah kursus intensif selama enam bulan yang membantu lebih 100 murid menguasai kemahiran membaca dan menulis selepas ketinggalan dalam pembelajaran ketika pandemik.

Selain itu, bantuan RM1,500 turut disediakan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke kolej atau universiti bagi membantu persediaan perjalanan dan keperluan mereka.

Katanya, usaha lain merangkumi bantuan kebajikan, penambahbaikan surau, pembinaan dewan masyarakat serta pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di kawasan Segedup yang melibatkan lebih 100 rumah pada fasa permulaan.

Beliau menjelaskan, kemudahan untuk golongan belia menjalankan aktiviti perniagaan dan mengadakan mesyuarat sudah siap di kawasan Satok.

Perasmiannya nanti diumumkan, katanya.