KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan pendidikan al-Quran melalui pelbagai inisiatif bagi melahirkan lebih ramai guru, qari, qariah, hafiz dan hafizah berkualiti serta berdaya saing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah,DBKU) dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, penubuhan Pusat Al-Quran Darul Hana Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) pada 2025 menjadi langkah penting dalam memperluaskan akses pendidikan al-Quran kepada masyarakat.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan memastikan peluang mempelajari dan mendalami al-Quran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk luar bandar.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai guru Al-Quran berkualiti sekali gus memperkukuh institusi pengajian sedia ada.
“Ini bagi memastikan usaha pembangunan bakat qari, qariah, hafiz dan hafizah dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo (MTQBB) Tahun 1448H/2026M di Dewan Kompleks Islam, di sini, malam ini.
Majlis perasmian disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas penganjuran tersebut, beliau berkata, seramai 32 peserta mengambil bahagian, masing-masing 17 peserta kategori tilawah dan 15 peserta kategori hafazan al-Quran.
Katanya, penganjuran yang menghimpunkan delegasi dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia itu bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform memperkukuhkan ukhuwah serta kerjasama masyarakat Islam serantau.
Beliau turut berharap program berkenaan dapat memperluaskan perkongsian kepakaran dalam bidang tilawah, hafazan, latihan guru dan pembangunan bakat al-Quran. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
