SIBU: Sektor perhutanan Sarawak sedang menjalani transformasi kepada ekonomi berasaskan karbon, pemuliharaan hutan dan pembangunan mampan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, transformasi itu penting untuk mencerminkan perubahan pendekatan Kerajaan Sarawak dalam menguruskan sumber hutan.
Langkah itu memberi penekanan lebih besar terhadap kelestarian alam sekitar tanpa mengabaikan kepentingan ekonomi.
“Pendekatan itu selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Hari ini, penanaman pokok bukan lagi semata-mata untuk menghasilkan kayu balak, sebaliknya turut membuka peluang kepada pembangunan hutan komersial dan penjanaan kredit karbon.
“Melalui mekanisme kredit karbon, syarikat boleh memperoleh kredit berkenaan untuk digunakan bagi tujuan mengimbangi pelepasan karbon,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Integriti Jabatan Hutan Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Menurut Len, sektor perhutanan Sarawak yang mempunyai sejarah lebih 100 tahun pernah bergantung kepada industri kayu-kayan sebagai pemacu ekonomi negeri.
Ini termasuk di Sibu yang menjadi pusat pengangkutan hasil hutan melalui Sungai Rajang serta laluan ke kawasan pedalaman menerusi jalan balak.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mula beralih kepada pengurusan sumber hutan secara mampan sejak era 1990-an dan 2000-an melalui penanaman semula pokok dan penerokaan ekonomi berasaskan karbon.
Katanya, peralihan itu membuka ruang kepada Sarawak untuk meneroka potensi ekonomi hijau dan rendah karbon, selain memastikan sumber hutan negeri terus diuruskan secara bertanggungjawab.
Dalam hal ini jelasnya, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mempunyai peranan penting merealisasikan hala tuju berkenaan menerusi tiga aspek utama, iaitu pengurusan hutan secara mampan, pembangunan ekonomi hutan dan penglibatan komuniti.
