Cadangan perluas FTES ke universiti awam Persekutuan dipertimbang

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan cadangan memperluas Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kepada anak Sarawak yang mengikuti pengajian di universiti awam milik Kerajaan Persekutuan yang beroperasi di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan perbincangan bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) agar pelajar tempatan di institusi berkenaan turut menikmati manfaat skim tersebut.

Menurutnya, beliau pada dasarnya bersetuju dengan cadangan itu, namun sebarang keputusan tertakluk kepada mandat baharu yang diberikan rakyat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Pada dasarnya saya bersetuju.

Ini bergantung kepada rakyat untuk memberikan semula mandat kepada kita (GPS).

“Perkara ini akan dipertimbangkan untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30, Sidang Ketiga, di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, antara institusi yang dipertimbangkan ialah UNIMAS, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mempunyai kampus di Sarawak.

Bagaimanapun, jelasnya, cadangan perluasan itu hanya melibatkan anak Sarawak yang mengikuti pengajian di negeri ini dan tertakluk kepada 64 kursus yang ditetapkan di bawah FTES.

Mengenai anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan dan memerlukan pertimbangan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan bantuan wang saku kepada anak Sarawak yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit memohon agar pelajar anak Sarawak di universiti berkenaan turut diberi peluang menikmati manfaat FTES.
– NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI