Bangunkan lebih banyak tarikan alam semula jadi

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) diharap membangunkan lebih banyak tarikan alam semula jadi melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024.

Dato Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) berkata, fungsi bertindih antara Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan SFC akan dihapuskan menerusi pindaan RUU itu.

Katanya, ini akan membolehkan SFC memberi tumpuan kepada mandat terasnya untuk mengurus sumber semula jadi dalam taman negara dan melindungi hidupan liar di seluruh Sarawak.

”Saya juga berharap dengan lebih banyak sumber yang boleh digunakan, SFC dapat mewujudkan dan membangunkan lebih banyak tarikan alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Rang Undang-Undang Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Dennis berkata, antaranya air terjun Three Sisters Waterfall Ulu Baram yang unik di Telang Usan.