KUCHING: Sarawak menunjukkan peningkatan nilai hartanah dari 75 peratus sehingga ke 200 peratus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini berdasarkan rekod transaksi hartanah di seluruh Sarawak dari 1994 sehingga 2022.
“Perancangan dan pembangunan pesat infrastruktur inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sesebuah kawasan merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut sekali gus meningkatkan nilai pasaran hartanah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pengulungan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, sebagai indikator, nilai pasaran hartanah rumah kedai tiga tingkat di kawasan Matang Jaya ialah RM340,000.00 seunit pada 2000 dan RM1.4 juta seunit (2023).
” Ini menunjukkan kenaikan nilai pasaran rumah kedai tiga tingkat sebanyak 300 peratus di antara tempoh berkenaan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, manakala nilai pasaran hartanah industri di kawasan Rantau Panjang, Sibu dari transaksi yang direkodJabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi tanah kegunaan industri ialah RM60 semeter persegi pada 2005 dan RM180 semeter persegi (2020).
“Ini menunjukkan kenaikan nilai pasaran hartanah industri sebanyak 200 peratus di antara tempoh berkenaan di kawasan tersebut,” tambahnya.
