Sarawak bakal terokai satu lagi teknologi baharu

KUCHING: Satu lagi teknologi baharu bakal diceburi sebagai sumber tenaga hijau di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, teknologi baharu itu adalah penghasilan tenaga hijau dengan mencampurkan arang batu dan biojisim.

“Susulan lawatan ke Bangkok baru-baru ini, saya mendapati mereka telah memulakan teknologi penjanaan kuasa baharu yang dipanggil “cogeneration” iaitu gabungan sumber tenaga boleh diperbaharui dan tidak boleh diperbaharui.

“Kini, arang batu boleh dicampur dengan biojisim untuk menghasilkan tenaga hijau,” katanya selepas Majlis Malaysia Book of Record (MBOR): Himpunan Terbesar Masyarakat Menggayakan Busana Pelbagai Etnik di Tebingan Sungai Kuching, di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, teknologi tersebut yang menggabungkan biojisim dengan arang batu dapat mengurangkan pelepasan gas kerana proses pencairan terlibat.

Sehubungan itu, beliau berkata akan mengkaji perkara berkenaan sama ada bakal menggunakan teknologi tersebut kerana ia tidak sukar untuk dilaksanakan.

Sementara itu, pengiktirafan dalam MBOR itu diterima sempena Hari Bersama Pelanggan yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama ‘The Rotary Club of Kuching’.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Hilmy Othman dan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono.