Pulau Bruit perlukan balai polis

SARIKEI: Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan cadangan pembinaan balai polis di kawasan Pulau Bruit, di sini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, ini kerana Pulau Bruit mempunyai 12 perkampungan dan sebuah rumah panjang namun kawasan itu belum mempunyai balai polis.

“Kawasan ini semakin pesat membangun. Malah, ada juga kes gejala sosial dan sebagainya, maka saya rasa amat perlu balai polis dibina di Pulau Bruit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Sarikei, hari ini.

Beliau turut mencadangkan balai polis itu dibina di Tapak Pertumbuhan Desa (RGC) Kampung Semop sejajar kewujudan klinik kesihatan di kawasan tersebut.

“Saya juga menggesa supaya kemudahan semua balai polis sedia ada di Parlimen Tanjong Manis ditambah baik,” tambahnya.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Aswandy Anis.

GAMBAR:SUARA SARAWAK