Idea Diplomasi Orang Utan bukan langkah bijak

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah membidas idea untuk memperkenalkan ‘Diplomasi Orang Utan’ kepada negara-negara pembeli sawit di negara ini.

Menyifatkannya sebagai bukan langkah baik, beliau berkata Orang Utan spesies yang amat dilindungi bukan sahaja di Sarawak malah di Malaysia dan Indonesia.

Justeru, adalah tidak wajar untuk haiwan tersebut dijadikan sebagai barangan transaksi kepada negara luar.

“Secara peribadinya, saya melihat ia mungkin bukan langkah yang sangat bagus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Bengkel Kelestarian Destinasi Pelancongan Sarawak di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa menjaga Orang Utan dengan baik dan sentiasa dipamerkan dalam promosi produk pelancongan negeri ini.

Jelas beliau lagi, habitat untuk Orang Utan terkenal hanya di Kepulauan Borneo, dibiarkan hidup secara liar dan bukannya dikurung di dalam sangkar mahupun zoo.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Noor Ahmad Hamid, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB) Dato Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Datu Salleh Askor.