BINTULU: Masalah bekalan air dan isu pembangunan lain di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak telah disuarakan kepada persidangan DUN Sarawak baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, ini selepas beliau menerima maklumat daripada pemimpin seperti pemanca, penghulu dan ketua kampung.
“Kita tidak membawa masalah ini dengan bercakap di kedai kopi sebaliknya kita menyuarakan masalah rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Jiwa Komuniti Madani Vaie anjuran Jabatan Penerangan Daerah Bintulu di Kampung Kuala Segan, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Iskandar juga menggalakkan penduduk DUN Jepak mengemukakan aduan dan cadangan kepada pasukan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jepak.
Katanya, ini bagi memudahkan beliau membantu penduduk dalam menyampaikan permasalahan kepada jabatan atau agensi berkaitan.
