KUCHING: Aplikasi WhatsApp Chatbot dijangka bakal dilancarkan Kerajaan Persekutuan pada minggu hadapan bagi memerangi penyebaran berita palsu dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, aplikasi itu juga sebagai usaha mengesahkan kesahihan berita yang dikongsi supaya maklumat dan fakta tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
“Kami kini sudah berada di fasa terakhir untuk melaksanakan WhatsApp Chatbot.
“Secara peribadi, saya telah menguji aplikasi itu dan sangat bagus selain dilengkapi dengan pelbagai bahasa untuk memudahkan orang ramai.
“Sekiranya tiada halangan, kita akan melancarkannya pada minggu hadapan. Jika tidak, kami akan melancarkannya kemudian,” katanya selepas menyempurnakan Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa di Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Fahmi, aplikasi itu belum mempunyai sebarang nama rasmi setakat ini.
Katanya, beliau telah meminta pembangun untuk membolehkan ciri yang mampu mengesahkan kesahihan video dan imej melalui aplikasi tersebut.
“Itu akan menjadi ciri yang akan datang. Buat masa ini, seperti yang saya uji, kami boleh mengesahkan sebarang teks maklumat atau berita palsu yang dikemukakan kepada kami.
“Dan untuk keselamatan Chatbot, setakat ini, tiada isu mengenainya,” katanya lanjut.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
