Projek IAC Jepak siap lebih 60 peratus

BINTULU: Kekurangan tenaga kerja menyebabkan penyiapan Projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bintulu di Jepak di sini mengalami sedikit kelewatan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur ), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, pencapaian kemajuan fizikal projek setakat ini sebanyak 60.85 peratus berbanding jadual sebanyak 66 peratus iaitu sedikit kelewatan sebanyak 5.5 peratus.

“Kalau dibandingkan dengan bilangan harinya, 26 hari lewat dan projek dijangka siap Oktober tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek IAC Bintulu di Jepak di sini, petang semalam.

Aidel berkata, sehubungan itu kontraktor sedang berusaha mengambil tenaga kerja yang lebih ramai bagi menyiapkan baki 40 peratus projek ini.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan perkembangan projek tersebut meskipun mengalami sedikit kelewatan.