KUCHING: Pameran sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di bandar raya ini menjadi lambang r evolusi yang telah dilalui industri media selama ini, termasuk dari segi peralatan yang digunakan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, HAWANA 2024 yang berlangsung dari 25 hingga 27 Mei turut menampilkan pameran menarik menggambarkan evolusi dan sejarah dunia kewartawanan di Malaysia khususnya di Sarawak.
Katanya, HAWANA juga memberi peluang kepada pengamal media untuk mengingati dan memberi penghormatan kepada mereka yang telah memberi makna kepada peralatan yang kita lihat hari ini.
“Dedikasi, ketabahan dan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap kebenaran juga sama penting,” katanya berucap merasmikan HAWANA 2024 di Atrium Utama Pusat Beli Belah Plaza Merdeka hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Katanya, dunia kewartawanan hari ini dipacu dengan perkembangan teknologi yang pesat dan perubahan zaman lantas menuntut cabaran berbeza terhadap setiap pengamal media.
Selain itu, pengamal media kini perlu bersaing dengan orang biasa menerusi media sosial dari segi kepantasan, dan pada masa sama, tidak mengabaikan integriti dan memastikan maklumat yang disampaikan sahih dan tepat.
“Kebolehan untuk bercerita menerusi multimedia dan kewartawanan data telah muncul sebagai kemahiran yang penting dalam era kewartawanan moden,” tambah beliau.
Menurut beliau, kementeriannya amat berbesar hati kerana Sarawak menjadi tuan rumah untuk perhimpunan terbesar wartawan Malaysia ini.
