KUCHING: Sarawak akan melabur dalam projek pengairan bagi penanaman padi di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan untuk Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Sarawak diketuai Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom bagi inisiatif itu.
“Inisiatif ini bagi memastikan pengeluaran padi di Sarawak sentiasa mencukupi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wilayah Pemuliharaan Agrobiodiversiti dan Penggunaan Mampan (RAC2) 2024, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kira-kira 10,000 hektar tanah di Sarawak dikenal pasti untuk penanaman padi yang diunjurkan pengeluaran kira-kira 240,000 metrik tan setiap tahun.
Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Sarawak juga memohon Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan bagi membangunkan sistem pengairan tanaman padi di Tanjung Bijat/Stumbin, Lingga.
“Kalau mereka beri RM500 juta, kita juga memperuntuk RM500 juta. Jika mereka beri RM1 bilion, kita juga akan peruntuk
RM1 bilion,” katanya.
