HEP Batang Ai pertama di Malaysia jana tenaga hidro, solar

SRI AMAN: Empangan Hidroelektrik (HEP) Batang Ai akan menjadi kawasan pertama di negara ini menjana tenaga hidro dan solar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini susulan projek empangan sedang dibangunkan Sarawak Energy (SEB) yang dijangka siap pada Oktober ini.

“Setakat ini projek yang menjana tenaga hijau itu telah mencapai kira-kira 30 peratus.

“Projek ini dijangka dapat mengeluarkan kuasa 50 megawatt (MW). Empangan ini, sekarang menjana tenaga sehingga 108 MW.

“Ini bermakna, apabila projek solar terapung Batang Ai ini siap, empangan ini bakal mengeluarkan tenaga 158 MW hidro dan solar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek solar terapung Batang Ai hari ini.

Premier Sarawak menjelakan, beliau juga berkongsi idea dengan SEB bagi membuat perancangan meningkatkan pelaburan syarikat asing di Empangan Hidroelektrik Batang Ai.

Jelas beliau, Kerajaan Sarawak juga sudah mengemas kini Ordinan Elektrik bagi tujuan memajukan dasar-dasar kerajaan negeri mengenai peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui bersih.

Dalam hal ini katanya Kerajaan Sarawak sudah meminda undang-undang yang membolehkan pihak swasta melabur dalam penjanaan kuasa.

“Maknanya sudah ada ruang untuk pelabur melabur di kawasan Batang Ai dan menambah kapasiti pengeluaran tenaga hingga lebih 2,000 MW.

“Jadi ini sudah tentu dapat membolehkan Sarawak mempunyai tenaga hijau lebih kurang 2,500 Megawat dari Empangan Hidroelektrik Batang Ai sahaja,” tambahnya.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pembangunan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili dan Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi.