Inisiatif Faedah Kesihatan Warga Emas dilancar 22 Julai depan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan melancarkan inisiatif Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) yang baharu sempena sambutan Hari Sarawak di Bintulu pada 22 Julai depan.

Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, SCHB bagi warga Sarawak berusia 60 tahun ke atas dari kategori B40 dan M40 berpendapatan isi rumah bulanan RM7,000 ke bawah.

Katanya, ini bagi membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan pesakit luar tanpa membayar di klinik panel swasta termasuk klinik pergigian. Klinik ini dilantik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pelancaran akan dilakukan Premier di tempat pameran sempena Hari Sarawak nanti,” katanya semasa sidang media SCHB, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, setakat ini sebanyak 88 klinik swasta bersetuju untuk menjadi klinik panel inisiatif terbabit dan paling tinggi di bahagian Kuching dengan sebanyak 37 klinik.

Katanya, rawatan boleh didapati melalui inisiatif terbabit ialah demam, selsema, sakit kepala, cirit birit, muntah, terseliuh, alergik, gout, luka ringan dan rawatan, cabutan, gigi palsu di klinik pergigian.

“Kemudahan rawatan ini secara debit (cashless). Bayaran terbabit akan dituntut oleh klinik panel swasta berkenaan dari JKM,” katanya.