SARIKEI: Masjid al-Muttaqin Sarikei kini berwajah baharu sebaik sahaja projek yang dinaik taraf bernilai RM9.5 juta itu siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek yang bermula pada 2020 itu terbahagi kepada dua fasa utama.
Fasa pertama katanya, bermula dengan pembinaan dewan berhampiran masjid sebelum disusuli dengan keseluruhan bangunan rumah ibadat itu.
“Sebaik sahaja dewan siap, solat berjemaah diadakan sementara di ruang itu sementara menunggu proses naik taraf masjid selesai.
“Perjalanan projek ini mengambil masa yang agak lama kerana kita terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan termasuk pandemik Covid -19,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Len Talif berkata, al Muttaqin dibina pada 1983 mampu menempatkan kira-kira 1,000 jemaah namun selepas dinaik taraf, masjid itu kini bukan sahaja berwajah moden tetapi juga berupaya menampung sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Dengan siapnya projek itu katanya, keseluruhan surau dan masjid di Kuala Rajang kini sudah berwajah baharu sekali gus menyediakan keselesaan kepada kariah yang menggunakannya.
“Saya menzahirkan terima kasih kepada Premier Datuk Patinggi, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana meluluskan peruntukan untuk tujuan pelaksanaan kesemua projek ini.
“Mewakili seluruh masyarakat Islam Kuala Rajang, sudah pastinya menzahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga atas kejayaan pelaksanaan semua projek ini,” ujarnya.
