Sarawak rancang bangunkan sistem empat bekalan air

SIBU: Kerajaan Sarawak mempunyai perancangan rapi bagi membangunkan sistem empat bekalan air di sini, menerusi Kajian Pelan Induk Bekalan Air Sibu Kedua 2013.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini khusus bagi kawasan Sibu dan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air, 2021 bagi seluruh Sarawak termasuk bahagian Sibu.

Menurutnya, pelan induk ini menggariskan pembangunan bekalan air untuk jangka masa sehingga 2025, 2040 dan 2070.

“Ia merangkumi tiga teras strategik iaitu permintaan air, rawatan dan pengagihan air dan kualiti dan kecukupan air untuk kedua-dua air mentah dan air terawat,” katanya selepas merasmikan Pecah Tanah Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim di Lembaga Air Sibu (LAS), hari ini.

ADUN Sebuyau itu berkata, pelan induk bertujuan membangunkan sistem grid air yang merangkumi pembangunan sumber air mentah, perawatan dan pengagihan yang akan menghubungkan semua loji utama yang merentasi seluruh negeri dan membentuk sistem grid air berterusan.

“Bagi projek naik taraf loji Salim daripada 150 MLD (juta liter sehari) kepada 300 MLD, ia dilaksanakan LAS dengan nilai skim projek yang diluluskan sebanyak RM300 juta. Kerja-kerja peringkat reka bentuk
dibiayai melalui Pinjaman Persekutuan berjumlah RM8.6 juta,” ujarnya.

Katanya, LAS kini beroperasi pada kadar kapasiti kira-kira 195 MLD dari loji-loji rawatan air sedia ada iaitu loji Salim sebanyak 150 MLD dan Loji Bukit Lima sebanyak 45 MLD.

“Dengan itu, LAS tiada lagi rizab margin lebihan bagi menampung keperluan tambahan permintaan semasa atau menampung peningkatan permintaan pada masa depan.

“Adalah amat penting projek naik taraf loji itu dimulakan dengan segera dan kelewatan pelaksanaannya menyebabkan berlakunya krisis air di Sibu terutama pada waktu puncak atau semasa musim kemarau,” ujarnya lagi.

Justeru itu, katanya, Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan untuk membiayai sendiri sepenuhnya kos pembinaan projek ini iaitu sebanyak RM291.4 juta melibatkan kos penyeliaan tapak dan kos ambil balik tanah.

“Projek itu bermula 20 Mei lalu dan tempoh kontrak ialah 30 bulan serta dijangka siap pada 2026.

“Dengan siapnya projek ini kelak, kapasiti Loji Rawatan Air Salim akan bertambah bagi memenuhi keperluan air yang semakin meningkat di Sibu sehingga 2036,” kata beliau.