Sarawak giat laksana inisiatif pembangunan tenaga hidro,solar

KUCHING: Usaha Sarawak dalam menjayakan peralihan tenaga kepada tenaga diperbaharui mengikut rancangan ditetapkan dikongsikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Seiktar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau berkongsi perkara itu ketika menjadi penceramah utama pada Sidang Puncak Kemampanan Dunia Hijau di Pulau Pinang hari ini .

Beliau berkata, Sarawak sedang giat melaksanakan inisiatif pembangunan tenaga hidro, solar dan solar terapung, tenaga angin, tenaga arus laut, pembangunan hidrogen hijau, biotenaga, bahan bakar sintetik, e-metanol, penggunaan, penyimpanan dan perangkap karbon, bahan bakar bio dan bahan bakar penerbangan mampan.

Usaha ini akan memberi sumbangan besar ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai pelepasan karbon sifar menjelang tahun 2050 di samping menjana pendapatan baharu untuk Sarawak dan Malaysia, katanya.

Sidang puncak itu fokus kepada usaha mempercepatkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) dan menggalakkan peralihan kepada tenaga hijau dan diperbaharui.

Ia juga akan meningkatkan Pertumbuhan Tenaga Mampan dan ekonomi circular, menggalakkan pelaburan dalam tenaga hijau serta membincangkan halatuju membangun bandar raya hijau dan mobiliti pintar.

Sidang puncak itu tertumpu kepada 4P (bumi, penduduk, kemakmuran dan perkongsian) menangani perubahan iklim dan menggalak serta mempercepatkan Matlamat Pembangunan Mampan UN dan memacu Perniagaan Hijau Asia Pasifik iaitu inisiatif Rangkaian Perniagaan Mampan UN ESCAP.

Sidang puncak berkenaan fokus kepada menggalakkan perkongsian awam-swasta-rakyat bagi mencapai kemampanan pertumbuhan hijau, inklusif dan dunia yang lebih baik.

Dalam pada itu, sidang puncak itu juga menangani isu strategik dan cabaran utama dalam menggalak perkongsian untuk menangani perubahan iklim.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak merasmikan sidang puncak itu. Hadir sama Presiden Institut Strategik bagi Asia Pasifik, Tan Sri Mehcael Yeoh dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Kho Tsu Koon.