Sultan Selangor, Permaisuri berkenan berkunjung ke RWMF

KUCHING: Demi Kitaro, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berkunjung ke Kuching untuk menyaksikan pemuzik lagenda itu membuat persembahan di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).

Baginda berdua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada jam 11.55 pagi tadi dan disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri Puan Sri Datin Amar Fatimah Iskandar.

Turut hadir menyambut keberangkatan tiba Baginda berdua ialah isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Datin Amar Enn Ong Siok Ean.

Selain itu, Baginda berdua turut berkenan mencemar duli melawat Muzium dan Galeri Tun Jugah Foundation pada sebelah pagi Sabtu.

Baginda berdua dijangka berangkat pulang dengan menggunakan pesawat khas pada Ahad ini.