BINTULU: Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2024 akan diadakan di bahagian ini pada 22 Julai ini.
Perayaan itu akan berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama, di sini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah selaku menteri bertangungjawab sambutan itu, Dato Sri Dr Stephan Rundi berkata dianggarkan seramai 10,000 orang akan menghadiri perhimpunan tersebut yang bermula jam 8 malam.
Katanya, tetamu kehormat ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.
“Pada malam itu akan ada persembahan pantomin yang mempamerkan usaha kita mendapatkan hak terhakis yang kita ada,” katanya ketika sidang media sambutan itu, di sini, hari ini.
Dr Stephan Rundi berkata, pengisian lain adalah persembahan artis tempatan dan terkenal tanahair antaranya Melissa Francis, Rozy Izzy (Bintang RTM 2024), Chien Ng, Sulaiman Usop, Daus Eli, Dayang Nurfaizah dan Bob Yusuf.
Sehubungan itu, beliau memohon semua premis dan kedai mengibarkan bendera Sarawak pada hari sambutan itu nanti.
Katanya, selain sambutan terbabit turut diadakan acara 100 tahun Jabatan Pertanian Malaysia dan Agrofest yang dianggarkan dihadiri 450,000 pengunjung dari 12 Julai hingga 22 Julai di sini.
