KUCHING: Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan bantuan pembangunan koperasi berjumlah RM4.48 juta diluluskan pada tahun ini.
Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebanyak 17 koperasi Sarawak diluluskan melalui SKM untuk menerima pembiayaan dengan bantuan terbabit.
“Melalui bantuan ini, kita yakin koperasi di Sarawak akan dapat meningkatkan kapasiti dan keupayaan dari segi pengurusan koperasi bagi membolehkan mereka meningkatkan mutu, capaian produk dan perkhidmatan ke pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, sebanyak 1,190 koperasi telah diwujudkan di Sarawak yang dianggotai lebih 313,000 orang dengan perolehan berjumlah RM368.97 juta setakat Disember 2023.
“Tahun ini, lima koperasi di Sarawak telah tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia dengan perolehan sebanyak RM93.5 juta,” katanya.
Beliau juga berharap gerakan koperasi di Sarawak akan terus dipertingkat dan diperkasakan melalui kerjasama rapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Dengan kerjasama ini, gerakan koperasi di Sarawak akan dapat terus berkembang dan memberi impak yang besar dalam pembangunan sosioekonomi tempatan,” tambahnya.
