Ekspo Pendidikan Sarawak di 43 lokasi 27 Julai ini

KUCHING: Yayasan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM675,000 kepada 45 Pejabat Daerah bagi menjayakan Ekspo Pendidikan Sarawak pada 27 Julai ini.

Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli berkata, ekspo itu akan diadakan serentak di 43 lokasi dengan pelancaran ekspo akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kolej Universiti i-CATS di sini.

“Pelancaran di peringkat daerah akan diadakan serentak sejurus selepas pelancaran oleh Premier Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ekspo Pendidikan Sarawak 2024 di Auditorium Yayasan Sarawak, di sini, hari ini.

Mersal berkata, antara institusi yang akan menyertai ekspo adalah Yayasan Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin, Kolej Univerciti i-CATS, Kolej Laila Taib dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).

Katanya, ekspo merupakan langkah proaktif pihaknya dalam menyediakan platform kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) supaya mereka dapat melanjutkan pengajian di institusi di bawah Yayasan Sarawak.