Projek SSLR fasa satu capai 35 peratus status pembinaan

MIRI: Pelaksanaan fasa pertama projek Jalan Penghubung Sabah dan Sarawak (SSLR) kini mencapai 35 peratus status pembinaannya, mendahului jadual asal.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Ir Aidel Lariwoo, kerja-kerja pembinaan projek ini telah mendahului sebanyak lima peratus berbanding perancangan awal sebanyak 30.32 peratus.

Ujarnya, projek yang mengikut jadual tersebut dijangka siap menjelang November 2026.

“Pembinaan projek ini bertujuan menyediakan jaringan jalan raya yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei Darussalam dan diluluskan secara berfasa oleh Kerajaan Persekutuan pada 2021 dan dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melakukan lawatan di Sungai Tujuh Kuala Baram, hari ini.

Aidel menambah, apabila siapnya projek ini nanti, ia akan meluaskan jaringan jalan persekutuan ke kawasan pedalaman serta meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk.

Bagi projek SSLR fasa kedua pula, beliau memberitahu, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek ini telah diserahkan oleh Menteri Kerja Raya kepada kontraktor utama (Maltimur Aktif Unggul JV) pada 26 Mac 2024 di Kuala Lumpur dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah dilantik sebagai Pengarah Projek.

Jelasnya, kerja-kerja awalan di tapak telah bermula dan projek ini dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Projek ini akan melibatkan pembinaan jajaran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer (km) yang akan menghubungkan Lawas ke Limbang seterusnya ke Mulu tanpa melalui Brunei Darussalam dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM7.2 bilion,” ujarnya.

Mengenai Projek Lebuhraya Trans Borneo, Aidel memberitahu, projek ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan secara dasarnya dibahagikan kepada tiga pakej melibatkan kos RM2.3 bilion.

Tiga pakej tersebut akan melibatkan laluan dari Kuala Baram ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri sepanjang 4.9 kilometer (km), dari ICQS Tedungan ke ICQS Pandaruan, Limbang iaitu sepanjang 54.6 km dan dari Pekan Lawas ke ICQS Merapok, Lawas iaitu sepanjang 33.7km.

Skop projek Lebuhraya Trans Borneo adalah menaik taraf jalan sedia ada dari Miri ke Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui Brunei Darussalam sepanjang 93.25 km.