SIBU: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 bertema “Jiwa Merdeka” akan diadakan di sini dengan tiga acara utama mulai 30 hingga 31 Ogos 2024.
Menteri Di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata acara pertama ialah konsert Ambang Hari Kebangsaan di Dataran Tun Tuanku Bujang pada 30 Ogos ini bermula jam 8 malam.
Konsert membabitkan persembahan etnik kreatif dari D’Sibu Tari diiringi orkestra daripada Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) dan nyanyian artis popular tanah air iaitu Kumpulan Floor 88 serta artis tempatan iaitu Firdaus Materang, Ng Chien Chien, Sazia Selair dan Mal Imran.
“Kita mensasarkan kira-kira 5,000 orang akan hadir menyaksikan konsert Ambang Hari Kebangsaan ini nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak di RH Hotel di sini, hari ini.
John Sikie berkata, acara kedua ialah Fun Walk melibatkan jarak sejauh 2.4 kilometer (km) pada 31 Ogos ini mulai jam 7 pagi mensasarkan seramai 5,000 orang.
“Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi turut serta dalam acara ini,” tambahnya
Manakala, acara ketiga ialah Perhimpunan Hari Kebangsaan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS Sibu pada 31 Ogos jam 11 pagi.
Katanya, perhimpunan terbabit juga dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, anggota kabinet dan tetamu kenama lain.
