Pejabat PNK Gerigat siap dibina, projek bina baharu jeti nelayan Gerigat dilulus

GERIGAT: Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat yang dibina dengan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM400,000 sudah siap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, pejabat terbabit akan memudahkan nelayan dalam PNK Gerigat mendapatkan maklumat terkini berkaitan inisiatif serta bantuan dengan lebih cepat.

“Kita berharap segala kemudahan dan bantuan sampai kepada golongan sasar seiring usaha mentransformasikan sektor perikanan dan menjadikan ia salah satu faktor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika merasmikan Pejabat PNK Gerigat di sini, semalam.

Chee Kadir juga memaklumkan projek bina baharu jeti nelayan di Kampung Gerigat bernilai RM5.5 juta telah diluluskan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

“Pembinaan jeti nelayan baharu itu menjamin keselamatan dan keselesaan penduduk kampung serta bagi golongan nelayan memunggah hasil laut,” katanya.