KUCHING: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) memperuntukkan RM500 juta untuk membangunkan dan menaik taraf aset ketenteraan di negeri ini bagi mengukuhkan pertahanan.
Menurut menterinya, Dato Sri Mohamed Khaled Nordin, MINDEF merangka pelan pemerkasaan pertahanan untuk Sarawak bagi tempoh 2024 hingga 2030.
“Inisiatif ini merangkumi projek pembangunan dan penaiktarafan aset ketenteraan dengan anggaran kos hampir RM500 juta merangkumi sektor tentera darat, udara dan laut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Kunjungan hormat tersebut antara lain membincangkan projek berkenaan serta mengukuhkan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan MINDEF.
Dalam pertemuan itu katanya, Abang Johari memberi sokongan penuh terhadap inisiatif yang diusulkan dan kedua-dua pihak dan bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan bersama bagi memastikan kelancaran projek akan datang.
Terdahulu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bakal memperuntukkan RM42 juta bagi penyelenggaraan rumah anggota tentera di Sarawak.
Hadir sama Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Dato Wira Hafizuddeain Jantan, Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Mohammad Ashraf Md Radzi serta delegasi lain.
