Projek mega beri manfaat rakyat Daro

DARO: Rakyat tempatan perlu mengambil peluang ekonomi dari pelaksanaan projek mega di sekitar kawasan Daro.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara projek itu ialah pembinaan Jambatan Batang Lassa, Jambatan Batang Paloh, Tebingan Daro, Anjung Usahawan dan sebagainya.

Katanya, projek terbabit sudah pasti akan memajukan Daro terutamanya meningkatkan ekonomi penduduk dan kawasan sekitar.

“Rakyat perlu mengambil peluang hasil kemajuan ini untuk menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Daro dan Penyerahan Warta Seksyen 6 dan Surat Hak milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak Bagi Kampung Tradisional Kampung Itol Daro dan Kampung Nangar Besar Daro, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab, ADUN Telian Royston Valentine, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh.