KAPIT: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bena, Sungai Sut, di sini perlu dibina semula untuk keselamatan pelajar dan tenaga pengajarnya, kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Beliau mencadangkan demikian selepas mendapati sekolah terbabit ditenggelami air hingga ke bumbung dalam kejadian banjir baru-baru ini.
“Tidak dapat saya bayangkan ketakutan dan kepayahan yang terpaksa dihadapi oleh 30 pelajarnya bersama guru-guru dan kakitangan berhadapan dengan bah yang melanda ketika mereka sedang lena tidur,” katanya kepada media selepas melawat sekolah itu di sini semalam.
Alexander Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit menegaskan, beliau turun ke sekolah itu dan melihat sendiri kerosakan teruk yang menimpa sekolah itu yang sememangnya sudah dalam keadaan daif.
“Melakukan kerja baik pulih sahaja tidak cukup untuk menghidupkan semula rumah ilmu buat anak-anak pedalaman di sini. SK Nanga Bena perlu dibina semula.
“Struktur asal binaan sekolah itu yang didirikan pada 1963 sudah tidak mampu lagi untuk menampung bencana alam, sekiranya terjadi lagi.
“Nyawa anak-anak, guru-guru serta kakitangan di sini perlu diberi perhatian,” tegas beliau.
Menurut Alexander, keseluruhan binaan sekolah, asrama dan kuarters yang menempatkan pelajar dan tenaga pengajar musnah ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat itu.
Beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang masing-masingnya menyumbang RM30,000 dan RM10,000 kepada pihak sekolah bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dan membeli keperluan segera pelajar-pelajar di sekolah itu.
Alexander juga berkesempatan untuk meninjau keadaan di SK Rantau Panjai yang turut terkesan akibat banjir dan menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada pihak sekolah berkenaan.
Beliau menzahirkan terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa banjir di kedua-dua lokasi itu dan membantu kerja-kerja pembersihan segera.
“Sebagai ahli Parlimen Kapit, saya akan berusaha sehabis baik mendapatkan fasiliti sekolah yang terbaik bagi anak-anak dan guru-guru di sini,” katanya.