KUALA LUMPUR: Agensi Kerajaan Persekutuan disaran meningkatkan program dan bantuan kepada usahawan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini supaya mereka dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran untuk mengembangkan perniagaan.
Beliau juga menekankan pentingnya koordinasi yang efektif di antara agensi kerajaan dan persatuan serta dewan perniagaan.
“Ini bagi memastikan liputan pelaksanaan program serta projek pembangunan akan lebih meluas dan meliputi juga kawasan luar bandar terutama di Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Kerajaan Sarawak di Mesyuarat Majlis Pembangunan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Ke 2 Tahun 2024 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ,Datuk Seri Zahid Hamidi, di sini, hari ini.
Majlis terbabit merupakan jawatankuasa tertinggi bagi membincangkan agenda pembangunan usahawan di Malaysia.
