Para SUKMA XXl: Sarawak sasar 15 emas acara renang

KUCHING: Kesemua 28 atlet para renang kini bersedia untuk menghadapi cabaran sasaran mengutip 15 pingat emas acara akuatik renang Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXl 2024 yang akan berlangsung mulai 22 hingga 28 September ini.

Penolong Chef De Mission Para SUKMA XXl Sarawak, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, daripada 28 atlet terbabit, 26 merupakan atlet lelaki manakala dua atlet perempuan.

“Sarawak menghantar seramai 28 atlet para renang bagi 51 acara daripada 60 acara yang dipertandingkan,” katanya berucap pada majlis randau bersama Kontinjen renang Para SUKMA Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di sini yang turut dihadiri Datuk Amar Jamilah Anu.

Noorazah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga menegaskan, dengan latihan padu dan disiplin tinggi para atlet renang diyakini membantu menambah kilauan emas bagi mencapai juara keseluruhan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

“Sememangnya besar harapan saya agar acara para renang ini akan memungut banyak pingat emas buat Kontinjen Sarawak,” katanya dan menambah semangat yang ditunjukkan seluruh kontinjen akuatik para renang Sarawak sangat positif.

Sukan renang menawarkan 60 pingat dan melibatkan tiga kategori, dengan kontinjen Sarawak menyandarkan harapan pingat kepada lima atlet kategori penglihatan, 13 (kategori fizikal) dan tujuh atlet termasuk dua wanita dalam kategori intelektual.

Pada temasya Para SUKMA ke-20 lalu, Kontinjen Sarawak memperoleh enam pingat emas dari kolam renang.

Pasukan renang dilatih oleh Sarini @ Syarbini Kedri sebagai ketua jurulatih, dibantu tiga jurulatih iaitu Imran Nawawi, Mandu Nyungkan, Mohamad Zamry Sapiee serta dua penolong jurulatih Mohammad Ali Seman dan Donny Sa dan Sabbariah Amit menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *