MIRI: Pelabuhan Miri di Kuala Baram bakal mengubah wajah bandar peranginan itu dari sudut ekonomi dan pelancongan apabila ia siap dibina pada 2027.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelabuhan ini bukan sahaja akan menggerakkan aktiviti ekonomi tempatan malah berpotensi menjadi hab pelancongan utama kerana kedudukannya yang strategik sebagai lokasi perhentian kapal persiaran.
Jelas beliau, pelabuhan Miri berpotensi untuk menyaingi pelabuhan di Singapura kerana status Miri sebagai bandar peranginan.
“Pelabuhan ini bakal menjadi pelabuhan besar setanding dengan Singapura kerana kita adalah bandar peranginan.
”Malah, pusat peraginan di sini akan menghadap Laut China Selatan,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pelabuhan Miri di Delta Batang Baram hari ini.
Katanya, kapal persiaran yang berlayar dari Singapura ke Bali berkemungkinan akan singgah di Miri dan Kuching sebelum meneruskan perjalanan.
Tambah beliau, ini akan menjadikan Miri sebagai destinasi yang lebih popular dalam kalangan pelancong luar sekali gus
meningkatkan aktiviti ekonomi termasuk industri kraftangan tempatan.
Premier Sarawak menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) dan Rimbun Prima Sdn Bhd bersama China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCC).
MoU itu menandakan permulaan rasmi projek dan melambangkan komitmen semua pihak untuk melaksanakan dan menyelesaikan kerja mengikut jadual yang dipersetujui dan jangkaan yang ditetapkan.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin dan beberapa pegawai tinggi kerajaan serta ahli-ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Miri (MPA).
