Para SUKMA: Sarawak sediakan perkhidmatan terbaik, cemerlang

KUCHING: Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) merupakan platform dalam melahirkan atlet-atlet hebat yang mengharumkan nama negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keberkesanan itu jelas terbukti apabila 19 daripada 30 orang atlet dari kontinjen Malaysia yang mewakili Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini lahir daripada Para SUKMA lalu.

“Sarawak sudah pastinya berbangga dengan Bonnie Bunyau Gustin – anak kelahiran Kampung Baru Mawang, Daerah Serian yang memenangi pingat emas Paralimpik Paris baru-baru ini.

“Bakatnya dikenal pasti apabila memenangi pingat untuk Sarawak dalam tiga Para SUKMA dari 2014 hingga 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis perasmian pembukaan temasya sukan Para SUKMA ke-21 di Stadium Perpaduan, di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hadir sama.

Majlis perasmian dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengulas berkenaan penganjuran temasya itu tahun ini, beliau berkata kontinjen yang bertanding setakat ini memberi komen yang positif atas komitmen penganjur (Sarawak) dalam menyediakan perkhidmatan yang baik dan cemerlang.