Mangsa kebakaran Kampung Hilir ditawar rumah pangsa Rantau Panjang

SIBU: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee mengadakan perjumpaan dengan Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran Kampung Hilir.

Perjumpaan itu diadakan di Suaru Darul Saadah dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Maawa, malam tadi.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, kira-kira RM35,000 akan diagih kepada semua mangsa kebakaran sebagai bantuan kilat.

Menurutnya, keutamaan kini adalah untuk membantu semua mangsa mencari tempat tinggal supaya mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya telah berbincang dengan mereka di mana kita menawarkan mereka untuk tinggal di rumah pangsa (flat) Rantau Panjang. Jika mereka memilih untuk tidak tinggal di Rantau Panjang, pilihan kedua mereka ialah mencari rumah sewa.

“Saya juga akan berbincang dengan kerajaan tentang menyediakan perumahan di Kemuyang,” katanya.

Dr Annuar berkata, semua sumbangan harus diuruskan oleh penghulu sebelum dipindahkan ke Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) yang diuruskan oleh Pejabat Residen Sibu.

“Sumbangan dalam talian boleh dibuat melalui akaun SDMC Sibu di CIMB Bank, nombor akaun 8601276029,” katanya.