KUCHING: Projek menaik taraf dua sekolah daif yang berharga RM33.6 juta siap sepenuhnya.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, projek tersebut membabitkan pembinaan gantian penuh 12 bilik darjah dan lain-lain kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki di sini. Pembinaan gantian dan tambahan bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh di Sarikei.
Jelas beliau, SK Jalan Haji Baki tidak dapat menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat dari kampung dan taman perumahan sekitarnya selain keadaan bangunannya yang sudah daif. Selain itu, tidak menjamin keselamatan dan keselesaan warga sekolah lebih-lebih lagi pelajar dan tenaga pengajar.
“Matlamat utama pembinaan sekolah ini untuk menggantikan bangunan asal yang terdiri daripada struktur kayu kepada sebuah sekolah yang dapat menyediakan ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa kepada tenaga pengajar dan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Dua Projek Siap Serentak di SK Jalan Haji Baki hari ini.
Projek yang dilaksanakan di SK Jalan Haji Baki mengambil tempoh selama dua tahun dua bulan untuk disiapkan bermula 14 April 2022 dan siap sepenuhnya pada 6 Julai 2024 dengan kos keseluruhan berjumlah RM18.34 juta.
Projek ini merangkumi sebuah blok pentadbiran dan akademik yang mengandungi 12 bilik darjah, pejabat guru, bilik rawatan dan pergigian, bilik komputer, perpustakaan, bilik pendidikan seni, bilik sains dan surau.
Selain itu, skop kemudahan infra turut dibina dalam projek ini seperti gelanggang terbuka berbumbung, sebuah blok kantin, bilik elektrik, rumah pam, rumah sampah, pondok pengawal, tiang bendera, laluan pejalan kaki berbumbung, tempat letak basikal dan lain-lain kerja berkaitan.
Manakala, projek di SMK Sungai Paoh, Sarikei yang bermula pada 6 Oktober 2022 telah siap sepenuhnya pada 5 Oktober lalu dengan kos pembinaan berjumlah RM15.29 juta.
Untuk projek di SMK Sungai Paoh, skop kerja melibatkan pembinaan sebuah asrama dua tingkat baharu untuk pelajar perempuan bagi menggantikan blok asrama sedia ada yang sudah usang dan strukturnya dibina daripada bahan kayu.
Selain itu, turut dibina ialah blok akademik tiga tingkat yang merangkumi bilik darjah, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), bengkel Elektrik dan Elektronik, bilik Matematik, bilik Pengurusan Sukan dan Pendidikan Jasmani, rumah guru serta pondok pengawal.
Alexander menambah, kejayaan pihak kontraktor menyiapkan kedua-dua projek ini mengikut jadual yang telah ditetapkan menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap projek melibatkan sekolah daif di Malaysia disiapkan mengikut tempoh yang diberikan.