PETRONAS secara dasar setuju PETROS sebagai agregator tunggal pengagihan gas

KUCHING: Petroliam National Berhad (PETRONAS) secara dasar bersetuju berhubung pelantikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator tunggal dalam pengagihan gas di negeri ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil berkata, rundingan antara PETROS dan PETRONAS berhubung perkara itu selesai hari ini.

Katanya, tempoh tiga bulan yang diberikan Kerajaan Sarawak kepada PETRONAS tamat pada 31 Oktober yang mana PETRONAS telah memaklumkan secara tidak rasmi perkara tersebut kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.

Justeru katanya, PETROS akan meneruskan usaha sebagai agregator dengan formula dan prinsip-prinsip yang lebih terperinci yang akan dibincangkan kemudian.

“Perkara itu telahpun selesai dan kita akan meneruskan usaha kita sebagai agregator. Perbincangan lanjut akan dibuat bagi menentukan formula dan prinsip.

“PETRONAS memaklumkan pekara ini kepada Dato Sri Julaihi secara tidak rasmi tetapi surat rasmi akan kita terima kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan rumah terbuka Deepavali di kediaman Presiden Persatuan Tokong Sikh Sarawak Dato Dr Kalwinder Singh Khaira di sini hari ini.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan membentangkan undang-undang baharu berhubung industri Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Sarawak di Parlimen pada Disember ini agar selaras dengan undang-undang yang telah dibentangkan di negeri ini.

“Apa yang kita perlukan ialah mengharmonikan undang-undang kita dengan pihak persekutuan dan melihat kepada kepentingan mereka.

“Kepentingan yang saya maksudkan di sini adalah apabila karbon itu hendak dihantar ke Sarawak, ia memerlukan penghantaran rentas negara yang memerlu pengawasan mereka tetapi kalau sumbernya sudah sampai ke Sarawak, ia akan menjadi milik kita,” jelasnya lagi.

Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari menyatakan kepentingan untuk menyelaraskan peraturan persekutuan dan negeri bagi memastikan pelaksanaan inisiatif CCUS berjalan lancar.

Dalam hal ini katanya, Kerajaan Persekutuan akan membentangkan perundangan CCUS yang komprehensif menjelang akhir tahun bagi mewujudkan rangka kerja kawal selia industri berkenaan.

Selain kediaman Dr Kalwinder, Abang Johari turut mengadakan kunjungan Deepavali bersama keluarga Shankar R.P Asnani di The King’s Curry.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Dato Sri Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok merangkap Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) Dato Ibrahim Baki, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng.