DARO: Kira-kira 400 peserta di kawasan ini diberi penerangan berhubung strategi mencapai negeri maju menjelang 2030 menerusi Majlis Taklimat dan Penerangan Inisiatif dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Negeri Sarawak.
Peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli- ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Majlis taklimat itu diadakan sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik anjuran Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Daro dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, di sini, hari ini.
Majlis taklimat tersebut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Samat Gany, John Nyigor, Fridah Osman Adenan serta Abang Abdul Aziz Datuk Dr Abang Abdul Draup yang masing-masing turut memberi penerangan berhubung aspirasi terkandung dalam pelan Covid-19 (PCDS 2030).
Antara penceramah lain yang turut memberi penerangan termasuk wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) , Sarawak Energy Berhad (SEB).
Yang lain adalah wakil Mutiara Mortgage dan Credit menerangkan bantuan kewangan pembelian perumahan, projek perumahan dan bantuan kewangan sewaan perumahan oleh wakil Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Pejabat Tanah dan Survei (JTS).
Sementara, penutupan pada sebelah petang dilakukan ADUN Daro, Safiee Ahmad manakala perasmian oleh Pegawai Daerah Daro, Zul Usup selaku pengerusi pengelola.
Zul Usup dalam ucapan ringkasnya meminta rakyat agar bersedia menerima perubahan pembangunan yang sedang dan akan dilaksana seperti jambatan, jalan raya kerana kawasan Daro ini antara laluan jalan pesisir.
Sesuai dengan tema daerah ini katanya, ‘Daro Dao’ amat sesuai dengan tempo pembangunan hasil strategi PCDS 2030 yang bakal dikecapi penduduk pada masa akan datang.
“Oleh itu, saya harap masyarakat di kawasan ini memberi sokongan padu terhadap pelaksanaan pembangunan agar dapat seiring dengan kawasan-kawasan lain,” katanya.
