KUCHING: Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menerima tajaan berjumlah RM378,800 dari rakan strategik bagi diguna di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Dato Sri Nancy Shukri berkata, tajaan itu bagi pengantian kemudahan di Anjung Kasih YKN dan pengwujudan Bilik Kasih Keluarga serta Bilik Kasih Wanita di HUS.
“Yayasan AmanahRaya memberikan tajaan berjumlah RM250,000 bagi penggantian kemudahan seperti katil, tilam, bantal, almari dan keperluan asas penghuni Anjung Kasih yang rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Serahan Tajaan Rakan Strategik YKN Malaysia Bagi Anjung Kasih dan Bilik Kasih Wanita di HUS, di sini, hari ini.
Nancy berkata, YKN juga akan mewujudkan Bilik Kasih Keluarga di Anjung Kasih YKN HUS tahun ini yang bakal dilengkapi dengan ruang istirehat, televisyen, pantri, ruang makan, ruang riadah dan terapi.
“Alliance Islamic Bank Berhad yang sudi memberi tajaan sejumlah RM52,500 bagi merealisasikan penubuhan Bilik Kasih Keluarga,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mewujudkan Bilik Kasih Wanita dilengkapi pelbagai fasiliti yang memberikan keselesaan dan ruang persendirian kepada jururawat wanita yang sedang mengandung, ibu perlu mengepam susu dan mendapatkan masa rehat lebih optimum.
“Justeru, projek Bilik Kasih Wanita ini diwujudkan dengan mendapat tajaan daripada Perinsuran Brokar berjumlah RM76,300,” tambahnya.
Nancy berkata, YKN sentiasa mengalu-alukan pihak korporat, jabatan agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan dan orang perseorangan untuk menyalurkan sumbangan dan setiap sumbangan wang tunai yang disalurkan akan diberikan resit pengecualikan cukai di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
