SYDNEY: Delegasi Parlimen Malaysia menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Parlimen Komanwel Ke-67 di Sydney, Australia, semalam.
Delegasi terbabit diketuai Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Hadir sama Speaker-speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha-setiausaha (DUN) dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sharrina Abdullah.
Persidangan ini merupakan platform penting bagi pemimpin dan Ahli Parlimen negara anggota Komanwel untuk berkongsi amalan terbaik serta membincangkan isu-isu bersama dalam usaha memperkukuh nilai dan prinsip Komanwel.
Majlis perasmian persidangan disempurnakan Gabenor New South Wales, Margaret Beazley AC KC yang juga Naib Penaung Persatuan Parlimen Komanwel.
Pada persidangan tersebut, delegasi Malaysia menghadiri beberapa mesyuarat antaranya berkaitan Commonwealth Women Parliamentarians (CWP), Commonwealth Parliamentarians with Disabilities (CPwD) dan Society of Clerks at the Table (SoCATT).
Delegasi Parlimen Malaysia juga dijadual menyertai Perhimpunan Agong Persatuan Parlimen Komanwel pada hari ini.
Pada perhimpunan ini perwakilan akan membincangkan perkara-perkara berkaitan tadbir urus, pindaan perlembagaan, keahlian persatuan serta penyata kewangan persatuan.